Showing posts with label tokoh. Show all posts
Showing posts with label tokoh. Show all posts

Sunday, December 5, 2010

cat stevens @ yusof islam

 
Saya dilahirkan dalam sebuah rumah yang penghuninya beragama Kristian. Diajar bahawa tuhan itu wujud, tetapi kita tidak ada hubungan secara langsung dengan tuhan.
Lantas kita perlu mewujudkan satu cara untuk menghubunginya, iaitu melalui Jesus. Dan apabila mereka mengatakan yang tuhan itu tiga, saya menjadi lebih bingung tetapi saya tidak mampu membantah atau membahaskannya.
Namun, sedikit demi sedikit, saya mendapati diri semakin jauh daripada pendidikan yang berbentuk agama ini.
Saya mula mencipta muzik dan mahu menjadi seorang bintang terkenal. Akhirnya, saya berjaya menjadi seorang yang sangat terkenal.
Pada waktu itu, saya berusia belasan tahun tapi nama dan gambar terpampang di semua bentuk media.
Mereka membuat saya lebih besar dan kerana itu saya juga mahu hidup dengan cara yang lebih besar daripada hidup yang sebenarnya, dan satu-satunya cara untuk mendapatkannya ialah dengan menikmati arak dan dadah.
Selepas setahun berjaya menikmati kemewahan dan hidup secara high, saya sakit teruk dijangkiti penyakit TB dan perlu dirawat di hospital.
Kemudian, tiba satu ketika apabila saya rasa agama Buddha itu nampak baik dan mulia, tetapi saya masih belum bersedia menjadi seorang sami Buddha dan memisahkan diri daripada masyarakat sepenuhnya.
Saya mencuba pula Zen dan Ching, numerologi, kemudian kad-kad pakau dan astrologi. Saya cuba membuka semula kitab Bible tetapi tidak menjumpai apa-apa. Pada waktu itu, saya masih tidak tahu sesuatupun tentang Islam.
Titik Permulaan
Kemudian satu keajaiban berlaku. Abang saya melawat sebuah masjid di Jerusalem. Dia begitu kagum dengannya. Masjid itu dirasakan penuh dengan kehidupan (tidak seperti gereja-gereja dan rumah-rumah biara yang dirasakan kosong), aman dan tenang.
Dia memberikan saya senaskah terjemahan al-Quran yang dibawanya dari sana. Dia tidak pula menjadi seorang Muslim tetapi dia dapat merasakan yang ada sesuatu dalam agama itu, dan dia fikir mungkin saya akan menjumpai sesuatu juga.
Apabila saya terima kitab itu, saya mendapat petunjuk yang bakal menerangkan segala-galanya kepada saya - siapa diri saya, apakah tujuan hidup di dunia, apakah sebenarnya hakikat hidup dan apakah hakikat yang akan berlaku, dan di mana saya datang. Saya sedar bahawa inilah agama yang benar; agama yang bukan dalam erti kata yang difahami oleh Barat, bukan agama yang hanya berguna untuk masa tua anda.
Perkara pertama yang ingin saya lakukan pada waktu itu ialah menjadi seorang Muslim.
Pada tahap ini juga, saya mula menemui keyakinan. Saya merasakan sudah pun menjadi seorang Muslim. Apabila saya membaca kitab al-Quran itu, barulah saya sedar bahawa kesemua para nabi yang diutus Allah itu membawa ajaran yang sama.
Lantas, mengapakah penganut Kristian dan Yahudi saling tidak sefahaman? Sekarang saya tahu bagaimana orang Yahudi tidak mahu menerima Jesus sebagai utusan Tuhan dan mereka juga telah menukar ayat-ayat Tuhan.
Penganut Kristian salah faham akan ayat-ayat Tuhan dan menganggap Jesus anak Tuhan. Kesemuanya masuk akal dan begitu mudah difahami.
Inilah keindahan al-Quran. Ia membuat anda berfikir dan mencari jawapan, dan tidak menyembah matahari atau bulan tetapi Tuhan yang Esa yang telah menciptakan segala-galanya.
Apabila saya lebih banyak membaca kitab al-Quran, ia menceritakan pula tentang sembahyang, sifat pemurah dan sifat suka berbuat baik.
Saya masih belum menjadi seorang Islam lagi, tetapi saya sudah dapat merasakan bahawa satu-satunya jawapan untuk saya ialah al-Quran; bahawa Tuhan telah menghantarnya kepada saya, dan saya menyimpannya sebagai satu rahsia. Tetapi al-Quran itu juga berkata-kata pada beberapa peringkat yang berlainan. Saya mula memahaminya pada peringkat yang lain pula.
Al-Quran mengatakan, "Mereka yang beriman tidak menjadikan orang kafir sebagai temannya dan orang beriman itulah saudaranya."
Pada tahap itulah, timbul keinginan saya untuk bertemu dengan saudara-saudara selslam.
Melawat Jerusalem
Saya melawat Jerusalem (sepertimana yang dilakukan abang saya). Di Jerusalem, saya masuk ke dalam masjid dan duduk. Seorang lelaki datang menghampiri dan bertanya apa yang saya mahu. Saya beritahu dia yang saya seorang Muslim. Dia bertanya lagi, apakah nama saya. Saya jawab, "Stevens". Dia kelihatan keliru. Setelah itu, saya menyertai sembahyang berjemaah, walaupun tidak begitu menjadi.
Peristiwa ini berlaku pada tahun 1977, lebih kurang satu setengah tahun selepas saya menerima al-Quran daripada abang saya.
Lantas, pada satu hari Jumaat, iaitu selepas menunaikan sembahyang Jumaat, saya pergi bertemu imam Masjid New Regent dan melafazkan syahadah di tangannya.
Saya telah menjadi seorang yang memiliki kemasyhuran dan kemewahan. Tetapi saya begitu sukar mendapatkan petunjuk, walau bersungguh-sungguh saya cuba mendapatkannya, sehinggalah saya ditunjukkan dengan al-Quran.
Sekarang saya sedar bahawa saya boleh berhubung secara langsung dengan Tuhan, tidak perlu menggunakan perantara. Islam mengangkat semua halangan ini.
Saya tidak pernah berjumpa orang Islam sebelum saya memeluk agama suci ini. Saya lebih dahulu membaca al-Quran dan menyedari bahawa tidak ada manusia yang sempurna di dunia ini.
Hanya Islam yang sempurna, dan sekiranya kita semua meniru akhlak Rasulullah s.a.w., kita akan berjaya.
Moga-moga Allah memberikan kita petunjuk dan hidayah-Nya untuk menuruti jejak langkah Rasulullah s.a.w.. Amin!

Allahuakbar!! Rasulullah itu contoh ikutan terbaik..[dipetik dari iluvislam.com]

Monday, November 29, 2010

10 wasiat as-Syahid Imam Hassan al-Banna


1.Dirikanlah solat apabila saudara mendengar azan walau dalam apa keadaan sekalipun.

2.Bacalah alQur'an atau bacalah buku-buku atau dengarlah perkataan yang baik-baik atau berzikirlah kepada Allah dan janganlah membuang masa walau sedikit pun dalam perkara yang tiada faedah.

3.Berusaha dan bersungguh-sunggulah saudara untuk bertutur Bahasa Arab yang betul (fus_hah) kerana sesungguhnya itu adalah antara syi'ar-syi'ar Islam.

4.Janganlah banyak bertengkar dalam apa-apa perkara sekalipun kerana pertengkaran tidak memberi sebarang kebaikan.

5.Janganlah banyak ketawa kerana hati yang sentiasa berhubung dengan Allah itu sentiasa tenang lagi tenteram.

6.Janganlah bergurau kerana ummat yang berjuang itu tidak mengerti melainkan bersungguh-sungguh dalam semua perkara.

7.Janganlah saudara meninggikan suara lebih daripada kadar keperluan para pendengar kerana suara yang nyaring itu adalah suatu resmi yang sia-sia dan menyakiti hati orang.

8.Jauhilah mengumpat peribadi orang, mengecam pertubuhan-pertubuhan, dan janganlah bercakap melainkan yang boleh mendatangkan kebaikan.

9.Berkenal-kenalanlah dengan tiap-tiap saudaramu walaupun ia tidak meminta saudara berkenalan kerana asa gerakan da'wah kita ialah berkasih sayang dan berkenal-kenalan.

10.Kewajipan-kewajipan kita lebih banyak daripada masa yang ada. Oleh itu tolonglah saudaramu sendiri tentang cara-cara bagaimana hendak menggunakan masa dengan berfaedah dan jika saudara mempunyai tugas sendiri, maka ringkaskanlah perlaksanaannya.


-Marilah sama-sama kita memuhasabah diri, dan berusaha untuk mengamalkan wasiat yang amat berharga nilainya ini, insyaAllah.